Membentuk keluarga hafiz

>> Wednesday, September 23, 2009

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD


RANTAU PANJANG 22 Sept. - Jika ada seorang sahaja anak yang hafiz al-Quran sudah tentu cukup membanggakan ibu dan ayah kerana para penghafaz merupakan kalangan terpilih, dijanjikan dengan pelbagai kelebihan di dunia dan akhirat.



Bagaimana pula agaknya jika mempunyai lebih dari seorang hafiz dalam keluarga, malah tujuh orang kesemuanya seperti anak-anak Che Rogayah Che Leh, 65, dari Kampung Dangar, di sini.



Tentunya ia sangat disyukuri oleh Che Rogayah yang mengasuh dan membimbing anak-anaknya itu kerana kecintaan yang begitu mendalam terhadap al-Quran walaupun ia suatu yang sememangnya cukup sukar.



Kecintaan itu terus disemai dan dipupuk di dalam jiwa anak-anak agar membesar melalui penghayatan al-Quran selain menghafaz.



Ibu kepada 11 anak ini yang merupakan guru al-Quran, bertuah kerana bersuamikan tokoh tahfiz terkenal negeri ini, Abdullah Daud, 75.



Kedua-duanya mengajar kalangan yang ingin menyempurnakan bacaan dan menghafaz al-Quran selain tumpuan kepada anak-anak sendiri.



''Bila ayah seorang guru tahfiz, maka anak-anak sudah tentu mengikut jejak. Rugilah kalau kelebihan yang ayah mereka ada tidak dapat dicontohi,'' kata Che Rogayah ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya baru-baru ini.



Che Rogayah yang mendapat pendidikan sehingga darjah 6 di Naim Lilbanat diberhentikan sekolah dan dikahwinkan ayahnya dengan Abdullah pada usia 17 tahun pada tahun 1961.



Abdullah yang ketika itu mengajar tahfiz di Mekah meminta rakannya, Allahyarham Abdul Latif Omar, seorang ulama terkenal di Rantau Panjang, menjadi wakilnya dalam acara akad nikah.



Che Rogayah dihantar ke Mekah dua minggu selepas itu untuk bertemu buat pertama kali dengan suaminya dan pada tahun 1971, mereka kembali menetap di Kelantan.



Seramai enam anak lelakinya yang hafiz adalah Mohd. Amin, 47, guru Quran di Masjid Pasir Mas, Abdul Hafiz, 34, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Abdul Bari, 32, imam Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Abdul Muhaimain, 31, guru Maahad Tahfiz Sains, Pulai Chondong, Abdul Sattar, 27, imam Masjid Kota Darul Naim dan Muhsin, 25, masih menuntut di Yaman.



Seorang anak perempuannya yang hafiz ialah Hasnah, 23, yang pernah mendapat johan Pertandingan Menghafaz Peringkat Kebangsaan pada tahun 2005.



Empat lagi anaknya ialah Mahmud, 44, bekerja sendiri, Abdul Rahman, 38, guru Sekolah Imtiaz, Besut; Baharuddin, 36, imam Masjid Muhammadi, Kota Bharu dan seorang lagi anak perempuan, Zakiah, 29, guru pelatih di Selangor.



Menurut Che Rogayah, kesemua anaknya dididik untuk menjadi hafiz tetapi hanya yang sanggup bertahan dengan cara ayah mereka sahaja yang berjaya.



''Suami saya memang tegas dan saya sebagai ibu akan terus memberi dorongan kepada anak-anak untuk bersabar dan meneruskan pengajian dengan ayah mereka.



''Apabila ada yang tekad mahu berhenti maka sayalah yang akan jadi perantara memberitahu suami, kena carilah saat dan ketika yang sesuai supaya dia faham," katanya.



Che Rogayah memberitahu, anak perempuannya Hasnah yang hafaz penuh pada mulanya juga mahu berhenti sekerat jalan.



''Hafazannya banyak terganggu kerana sering sakit perut akibat senggugut. Saya beri semangat dan apabila dia menjadi johan peringkat kebangsaan 2005 kategori 1-15 juzuk, dia tidak menoleh ke belakang lagi," katanya.



Che Rogayah berkata, semasa proses membesarkan anak-anaknya, mereka diwajibkan tidur sebelum pukul 11 malam selepas seharian menghafaz al-Quran dan bangun setengah jam sebelum Subuh.



''Saya menyediakan sendiri makanan mereka dan tidak pernah membeli makanan luar takut termasuk bahan-bahan yang diharamkan Islam. Saya pastikan masakan saya kurang pedas dan tidak membenarkan mereka memakan asam," ujarnya.



Namun Che Rogayah berkata, dia dan suaminya tidak kecewa walaupun tidak semua kesebelasan orang anaknya hafiz.



''Tidak mengapa, ini kurniaan Allah. Yang menjadi hafiz pun hanya mereka yang menjadi pilihan Allah sahaja," katanya.



Sumber : Utusan Malaysia 23/09/2009

0 comments:

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP