Showing posts with label PENDIDIKAN. Show all posts
Showing posts with label PENDIDIKAN. Show all posts

Rasional KPLI hanya setahun

>> Thursday, August 20, 2009

Oleh Mohd Sabran Md Sani

WAJAR atau tidak? Itulah persoalan yang timbul apabila Kementerian Pelajaran bercadang untuk memanjangkan tempoh berkursus bagi program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dari setahun kepada 18 bulan.

Sejak isu berkenaan dipaparkan di akhbar, pelbagai pihak memberikan reaksi mengenai langkah kementerian itu untuk memanjangkan jangka masa berkursus semata-mata bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Bagi pelajar yang sedang mengikuti kursus berkenaan di maktab seluruh negara, hanya perkataan syukur dapat diucapkan kerana tidak perlu mengikuti tempoh berkursus yang lama sebelum dianugerahi sijil. Namun, tidak pula bagi graduan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) yang baru menamatkan pengajian dan sedang ‘mencongak-congak’ untuk memilih profesion perguruan sebagai kerjaya utama.

Ada kalangan warga pendidik menganggap tempoh berkenaan sesuai bagi menjadikan seseorang guru lebih matang dalam mendidik anak bangsa supaya misi dan visi pendidikan tercapai. Tidak kurang pula yang menyalahkan pelajar kerana memilih profesion perguruan bukan kerana minat atau mahu mendidik anak bangsa, tetapi sekadar seronok bekerja makan gaji. Meskipun dua perkara ini sedikit sebanyak menjatuhkan martabat perguruan, tetapi sikap ‘menghukum’ pelajar yang mengikuti kursus itu tidak seharusnya berlaku kerana mereka sudah melakukan tugasan dengan sebaik mungkin.

Sebaliknya, kita perlu melihat dan menilai bebanan yang terpaksa ditanggung pelajar apabila dikehendaki mengikut modul ditetapkan kementerian, selain berdepan dengan birokrasi sekolah sehingga menyebabkan mereka dalam keadaan dilema. Sedar atau tidak, bukan semua pelajar KPLI yang mengikuti kursus di maktab perguruan akan mengajar mata pelajaran sama sejurus menamatkan pengajian dan memasuki alam pengajaran di sekolah.

Inilah yang harus kita fikirkan sebelum menuduh kononnya pelajar lepasan KPLI tidak berkualiti dan mahu bekerja mudah dengan makan gaji untuk menceburi profesion perguruan. Senario ini kita dapat lihat di kebanyakan sekolah di negara ini, apabila guru yang baru ditempatkan di sekolah yang diarahkan untuk mengajar subjek yang berada di luar kemampuan mereka atau luar bidang.

Isu berkenaan tidak wajar dipandang ringan. Mengalihkan tanggungjawab semata-mata untuk menggantikan kekosongan guru akibat bertukar sekolah ataupun guru cuti bersalin dalam jangka masa panjang bukan alasan tepat. Keadaan ini tidak ketara di sekolah kawasan bandar, tetapi berbeza kepada sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman sehingga memaksa guru lain menjadi ‘guru ganti’.

Mungkin bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) terhadap cadangan Kementerian Pelajaran memanjangkan tempoh pengajian KPLI dari setahun kepada 18 bulan perlu dinilai secara mendalam.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata tempoh setahun sudah memadai kerana pelatih terbabit sebelum ini sudah menghabiskan masa empat tahun di universiti. “Jika kita fikir secara logik mereka sudah belajar bertahun-tahun di universiti. Kalau dicampur dengan tempoh belajar pada peringkat KPLI jika ia dilanjutkan, hampir enam tahun baru mereka dapat merasa gaji,” katanya. Hashim sebaliknya mencadangkan supaya tempoh latihan praktikal dilanjutkan berbanding tiga bulan sekarang.

Beliau juga mencadangkan sistem pengambilan ke KPLI diperkemaskan untuk memastikan hanya pelajar betul-betul berminat menjadi guru. “Saya mencadangkan supaya kementerian mengadakan minggu suai kenal selama dua minggu bagi memberi ruang kepada pelajar untuk menarik diri daripada menyertai KPLI jika berasakan tidak sesuai untuk berkhidmat sebagai guru.

“Sistem ini diguna pakai bagi pengambilan kadet anggota tentera dan polis. Jika yang terpilih semua terhadap profesion keguruan, maka kerajaan tidak akan rugi dan mereka pun cepat dapat berkhidmat,” katanya. Perkara itu turut dipersetujui Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob, yang berpendapat tempoh setahun pengajian KPLI sudah memadai. Aminah bersetuju jika tempoh praktikal pelajar KPLI dilanjutkan bagi memberi pendedahan sewajarnya kepada bakal guru.

“Apa yang penting adalah kandungan dan penyampaian pedagogi dengan sempurna, pembelajaran secara mikro serta latihan tiga bulan di sekolah dapat membantu mereka menjadi guru berkualiti,” katanya. Falsafah pendidikan dengan jelas mahu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani dan jasmani.

Meskipun Bahagian Pendidikan Guru (BPG) kini pada peringkat akhir memuktamadkan kertas kerja mengenai cadangan itu dan paling awal ia akan dilaksanakan pada pengambilan Januari depan, namun kajian menyeluruh termasuk kebajikan bakal guru KPLI perlu diberi perhatian wajar. Memantapkan lagi profesion perguruan terutama membabitkan graduan lepasan universiti adalah cadangan baik untuk memastikan guru menguasai pedagogi pendidikan yang menjadi teras kursus. Lagipun mereka yang terpilih untuk mengikuti kursus KPLI bukan calang-calang individu kerana sudah melalui pelbagai proses tapisan berperingkat termasuk permohonan secara dalam talian, ujian bertulis dan temu duga.

Berdasarkan rekod untuk pengambilan sesi Jun lalu saja, Kementerian Pelajaran menerima 68,000 permohonan daripada siswazah untuk mengikuti KPLI dan hanya 1,984 tempat disediakan untuk kursus KPLI di 27 institut pendidikan guru di seluruh negara. Persoalannya, mengapa isu berkaitan kualiti guru KPLI dipersoalkan sekarang ini dan berbangkit apabila graduan sulung Program Perguruan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) yang mengikuti kursus lima tahun dilahirkan?

Mungkinkah kepantasan tempoh pembelajaran guru lepasan KPLI dan berkedudukan gred DG41 menyebabkan mereka menjadi mangsa guru lama yang iri hati berikutan berada pada gred DG29 dan DG32? Menyalahkan dan mengubah tempoh KPLI bukan penyelesaian terbaik, tetapi bagaimana sukatan pelajaran disampaikan kepada golongan terbabit, selain mengurangkan bebanan ketika mereka di Institut Perguruan Guru (IPG).

Bebanan di sini, bukan saja terhadap sukatan pelajaran disediakan, tetapi aktiviti seharian yang begitu padat dari pagi hingga ke petang termasuk aktiviti kokurikulum dan perkhemahan. Jangan hanya kerana nyamuk, kelambu dibakar dan hanya sebab nila setitik, rosak susu sebelanga sebelum akhirnya yang sengsara guru lepasan KPLI kerana berada dalam dilema mendidik anak bangsa dan faktor sekeliling.

Guru ibarat lilin yang membakar diri bagi menerangi orang lain dan mereka inilah yang akan mencorakkan masa depan negara dalam melahirkan modal insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani dan jasmani.

Sumber : Harian Metro

Read more...

12 langkah untuk mantapkan Bahasa Inggeris

>> Thursday, July 9, 2009

PUTRAJAYA 8 Julai - Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan 12 langkah untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Ia diluluskan Kabinet hari ini selaras dengan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikut langkah-langkah tersebut:

- Menambah seramai 13,933 guru Bahasa Inggeris (BI) termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan 12,333 guru tambahan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

- Menyediakan guru penolong BI gred DG41 bagi kelas besar melebihi 35 murid dalam tahun satu dan dua untuk meningkatkan masa perhubungan guru dan murid.

- Menambah waktu BI bagi sekolah kebangsaan (SK) tahap satu sebanyak 90 minit kepada 330 minit seminggu manakala tahap dua daripada 210 minit kepada 300 minit seminggu.

- Waktu BI bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) tahap satu pula ditambah daripada 60 minit kepada 120 minit seminggu manakala tahap dua ditambah daripada 90 minit kepada 120 minit seminggu.

- Menambah waktu BI bagi tingkatan satu hingga lima daripada 200 minit kepada 280 minit seminggu.

- Peruntukan waktu BI bagi Malaysian University English Test (MUET) tingkatan enam ditambah daripada 320 minit kepada 400 minit seminggu.

- Waktu BI bagi matrikulasi ditambah 100 peratus iaitu daripada tiga jam kepada enam jam seminggu.

- Program Sastera Kontemporari bahasa Inggeris Kanak-Kanak diperkenalkan kepada semua murid sekolah rendah tahap dua untuk mengukuhkan minat membaca dan memperkenalkan unsur-unsur sastera.

- Mewujudkan makmal bahasa Inggeris di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa itu dengan berkesan.

- Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran BI melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.

- Pelajaran tatabahasa Inggeris diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.

- Menyerapkan elemen sains dan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran BI untuk mendedahkan murid dengan istilah berkaitan dalam bahasa Inggeris.

Read more...

PPSMI Mansuh 2012


Read more...

SPM 10 subjek?

>> Thursday, June 4, 2009


Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia Tan Sri Muhyidin Yassin telah mengeluarkan kenyataan bahawa mulai tahun 2009, calon2 SPM dihadkan untuk mengambil 10 subjek sahaja. Berikutan itu, banyak komen yang telah didengar sama ada yang bersetuju atau tidak bersetuju. Ini bermakna sekiranya ia diterima tidak ada lagi kedengaran pelajar2 yang berlumba2 untuk mendapat bilangan A terbanyak. Tapi adakah ini akan menguntungkan pelajar2 secara keseluruhan?

Rentetan dari kenyataan itu, sekali lagi Tan Sri Muhyidin mengeluarkan kenyataan bahawa subjek teras untuk SPM mungkin akan dikurangkan daripada 6 subjek kepada 4 subjek. Jika sebelum ini subjek2 teras tersebut ialah BM, English, Math, Science, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Moral. Sekiranya ia dikurangkan menjadi 4, subjek mana yang akan menjadi mangsa? Pada pandangan Lan, semua subjek tersebut adalah penting. Mungkinkah Pendidikan Islam atau Moral dan Sejarah menjadi mangsa? Lan amat tidak bersetuju sekiranya kedua-dua subjek tersebut digugurkan menjadi subjek teras. Sekiranya ia digugurkan, percayalah pelajar2 tidak akan memberi perhatian kepada subjek tersebut. Macam mana nak lahirkan modal insan yang berkualiti sekiranya ilmu agama teramat cetek?

Cuba lihat apa yang terjadi pada sekolah rendah untuk UPSR. Memandangkan Pendidikan Islam tidak tersenarai dalam UPSR, ada segelintir murid memandang sebelah mata terhadap subjek tersebut semasa berada di Tahun 6. Sekiranya untuk subjek BM, BI, Math and Sciene mereka boleh memberi penekanan termasuk menhadiri tuisyen dan membeli buku rujukan, kenapa tidak dengan Pendidikan Islam? Jawapannya tepuk dada tanya hati.

Harapan Lan agar Kementerian Pelajaran perlu mencari alternatif lain untuk mengatasi masalah ini.

Read more...

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP