Jawatankuasa khas selaras kurikulum j-QAF, Kafa

>> Tuesday, September 15, 2009

PUTRAJAYA: Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyelaras kurikulum pengajian Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) bagi mengelak pertindihan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Jawatankuasa yang dibentuk diberi tanggungjawab untuk meneliti antara lain (soal) mengelak pertindihan termasuk berkaitan kurikulum pembelajaran pengajian Islam yang sedang dilaksanakan sekarang dan apa yang terkandung di bawah Kafa.

"Ini termasuk soal tenaga pengajar dan kelayakan guru yang mengajar, soal pensijilan dan akreditasi, selain meneliti soal infrastruktur, kelengkapan pembelajaran dan pengajaran pendidikan Islam sama ada di sekolah kebangsaan atau di Kafa sendiri.

"Di samping itu, (jawatankuasa akan mencari kaedah) bagaimana kita dapat membantu dalam soal meningkatkan mutu pembelajaran pendidikan Islam di sekolah-sekolah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai hala tuju pengajian aliran agama di sini hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Muhyiddin berkata mesyuarat hari ini turut memutuskan agar program j-QAF terus dimantapkan dan bukan setakat di peringkat sekolah rendah tetapi ia harus dipanjangkan ke peringkat sekolah menengah iaitu sehingga ke tingkatan lima.

Katanya, jawatankuasa yang akan ditubuhkan itu juga akan mengkaji dan meneliti keperluan untuk menyediakan pembelajaran agama Islam sepanjang hayat.

"Perkara ini akan diteliti bagi memberi peluang kepada masyarakat Islam dewasa yang tidak berkesempatan mengikuti pengajian Islam secara formal untuk mempelajari Islam secara mendalam," katanya.

Pada sidang media itu, Muhyiddin turut mengumumkan bahawa calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kini diterima mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berikutan keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengiktiraf peperiksaan itu setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). - Bernama

Sumber : Berita Harian

1 comments:

tice September 16, 2009 at 10:05 AM  

Semoga apa yang ingin dipertingkatkan akan menjadi KENYATAAN tanpa mengurangi mana-mana bahagian penting...

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP