Guru KPLI tak berkualiti?

>> Sunday, June 21, 2009

KPLI 18 BULAN

BERITA HARIAN 14 JUN 2009

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan memanjangkan tempoh pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) selama enam bulan kepada setahun enam bulan, bermula pengambilan Januari 2010.


Itu bunyi keratan akhbar Berita Minggu yang sempat saya telusuri pagi tadi. Tiada yang pelik. Program latihan KPLI j-QAF yang saya ikuti pada tahun 2007 merangkak ke 2008 mengambil masa 18 bulan. Detik-detik yang amat dramatik. Tanyalah kepada Graduan j-QAF yang pernah merasai detik keramat itu. Namun, setiap kepahitan itu pasti manis di hujungnya.


Saya masih ingat akan kata-kata seorang rakan sekerja di depan saya sendiri. ”Cikgu KPLI sekarang ni kurang berkualiti, cikgu dulu-dulu tiga tahun belajar nak jadi cikgu”. Saya terhiris , tiada kata , lidah kelu, tetapi tekad di hati bulat untuk membuktikan sesuatu.


Mei 2009.

Guru-guru SK Sawah Sempadan baru selesai di cerap P&P nya oleh Jemaah Nazir. Seminggu mereka berkampung. ”Ustaz, tahniah ! saya dah dapat keputusan pencerapan Jemaah Nazir Selangor tempohari. Ustaz dapat status Cemerlang untuk kedua-dua subjek.” kata Puan Alimah, Penolong Kanan yang juga mendapat keputusan yang sama.


“Alhamdulillah, keputusan yang biasa-biasa sahaja pada saya walaupun hanya beberapa orang guru sahaja yang mendapat keputusan cemerlang P&P. Itupun guru senior. Saya baru beberapa tahun sahaja mengajar.


Tetapi sebenarnya, ia memberikan bukti bahawa guru muda walau dengan hanya setahun berkursus KPLI mampu untuk memberikan yang terbaik untuk anak didiknya.

Persoalan setahun atau tiga tahun kursus perguruan bukanlah faktor utama menentukan sejauh mana prestasi guru tersebut. Ia bertitik tolak daripada hati dan usaha. Belajar sehingga 10 tahun pun, tetapi jika tidak berminat untuk mengajar, maka terhasillah guru yang hanya dilihat makan gaji semata-mata.


Graduan Pengajian Islam telah pun berusaha dengan gigih untuk mendapatkan segulung ijazah. Laluan menggenggam ijazah daripada Timur Tengah jauh lebih mencabar. Saya kini sedang berusaha menghadamkan pembacaan buku Rindu Bau Pohon Tin karya Ustaz Hasrizal Jamil (www.saifulislam.com). Pengalaman menuntut di bumi Jordan dibukukan. Memang penuh liku. Empat tahun graduan Pengajian Islam menuntut ilmu-ilmu Islam. Walaupun tidak cukup tempoh itu, tetapi ia mengajar ilmu kehidupan. Ia memberikan bekalan untuk menghadapi masyarakat. Ditambah 18 bulan ilmu-ilmu pendidikan sewaktu menghabiskan kursus KPLI.


Tetapi sebenarnya ilmu di lapangan ketika berada di sekolah nampaknya lebih mendominasi. Tunjuk ajar guru-guru senior amat-amat membantu. Ilmu guru-guru yang lebih berpengalaman sukar dibeli di mana-mana. Pengalaman ilmu kaedah pengajaran di lapangan hebat ertinya. Terbukti, ilmu-ilmu mendidik bersifat lapangan. Berlainan murid, berlainan kaedah pengajaran. Pengalaman adalah guru yang terbaik. Mendidik memerlukan ketajaman minda. Minda yang hebat memungkinkan guru melihat potensi dan kebolehan murid yang pelbagai. Lantas, strategi disusun berdasarkan tahap dan kemampuan murid. Berdakwah juga begitu. Pendakwah yang penuh hikmah pendekatannya, melihat kepada keadaan Madu’. Tidaklah sembrono sahaja pendekatan dakwahnya.


Saya masih ingat kepada kata-kata seorang yang rasa-rasanya warga pendidik kenal “berdosalah seorang guru jika anak didiknya tidak tahu membaca”. Saya rasa cukup terhiris apabila terbaca kata-katanya pada kali pertama. Tetapi jika dilihat secara positif, memandaikan manusia itu tugas asasi seorang guru. Bayangkan jika anak-anak ini tidak tahu membaca sehingga tahun enam. Alangkah sukarnya masa hadapan mereka. Itu sebabnya saya tabik kepada guru-guru tahun enam di sekolah saya yang begitu hebat usahanya bagi menyediakan murid-murid tersebut melangkah gah ke alam menengah.


Begitupun, tempoh waktu yang mencukupi memainkan peranan penting bagi melahirkan guru berkualiti. Ada ketikanya ketika mengikuti kursus KPLI yang lalu, kelas bermula jam 8.00 pagi berlanjutan sehingga jam 11.00 malam. Bayangkanlah kehidupan pensyarah Institut Perguruan yang terpaksa menghabiskan silibus yang banyak dek kesuntukan masa. Tekanan juga kepada guru pelatih yang terkejar-kejar untuk menyiapkan tugasan. Bagi guru yang berkursus sewaktu cuti, tugasan asasi untuk majikan di sekolah perlu juga diselesaikan. Tidak mustahillah ada panggilan daripada sekolah menjengah masuk ketika berada di dalam kelas. Itulah cabaran demi sebuah kejayaan. Tempoh kursus yang dipanjangkan bakal memberi ruang yang sedikit lapang untuk guru-guru pelatih. Ada juga kebaikannya.

Moga-moga graduan KPLI yang dilahirkan nanti akan terus cemerlang di tengah-tengah masyarakat.


Ruzain Syukur Mansor


Penulis, Ruzain Syukur Mansor merupakan seorang graduan KPLI-jQAF dan kini mengajar di SK Sawah Sempadan, Selangor. Jadi bila dah baca catatan beliau, kita boleh renung-renungkan bahawa tak semua graduan KPLI tak berkualiti. Mungkin hanya segelintir yang tidak serius dalam tugas, tapi tak boleh menganggap bahawa semua golongan ini menjadikan guru sebagai pilihan terakhir. Mungkin ada di kalangan mereka ini lebih baik berbanding dengan mereka yang mendapat latihan secara formal. Yang penting ikhlaskan hati, buat kerja bukan kerana mengejar pangkat, merendah diri dan sifat ingin belajar harus ada.

0 comments:

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP