Budak Pintar

>> Wednesday, June 3, 2009


Sumber : Blog Pusat Sumber SK Parit Haji Taib

SEKALI pandang, Elise Tan-Roberts sama seperti kanak-kanak lain yang ceria bermain sambil melukis di ruang tamu rumah mereka.

Anak Louise dan Edward dari utara London ini sentiasa tersenyum dan tertawa riang. Namun, berbeza dengan kanak-kanak lain, Elise memiliki keistimewaan yang jarang dimiliki kanak-kanak lain atau orang dewasa kerana beliau disahkan memiliki tahap IQ setinggi 156 mata.

Nilai itu meletakkan Elise yang baru berusia dua tahun, empat bulan dan tiga minggu dalam kelompok 0.2 peratus anak istimewa sebayanya di dunia dan dua mata lebih tinggi daripada wanita pintar, Carol Vorderman dan kini diterima sebagai anggota termuda Mensa.

Kebijaksanaan luar biasa Elise bagaimanapun mengejutkan Louise dan Edward dan semua ahli keluarga mereka kerana sebelum boleh bercakap, mereka hanya melihat anak yang ceria itu sentiasa merenung pelbagai barangan dan juga manusia, seolah-olah menyerap segala maklumat daripada mereka.

Elise dilahirkan di London pada Disember 2006 dan memiliki darah keturunan England, Malaysia, China, Nigeria dan Sierra Leone. Ada di antara ahli keluarga ibu dan bapanya bekerja sebagai doktor dan peguam, tapi tiada seorangpun lahir sebagai genius.

Louise pula bekerja sebagai pengurus akaun secara sambilan di syarikat pengangkutan Pickfords.

Elise baru berusia lima bulan ketika memanggil Edward dengan panggilan Dada. Tiga bulan kemudian, beliau mula berjalan dan berlari dua bulan selepas itu.

Sebelum ulang tahun hari jadinya yang pertama, Elise mampu menulis namanya dan ketika berusia 16 bulan boleh mengira dari satu hingga 10. Awal minggu ini beliau melakukannya sekali lagi, kali ini dalam bahasa Sepanyol.

Ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat asuhan sama dengan Elise menggesa Louise dan Edward menilai tahap kepintaran Elise selepas melihat kebijaksanaannya.

Kisah Georgia Brown yang berusia dua tahun ketika diterima dalam Mensa menjadi sumber inspirasi Louise dan Edward dan mereka akhirnya bertemu dengan pakar psikologi pendidikan, Profesor Joan Freeman, bulan lalu.

Selepas Elise menduduki ujian IQ yang rumit selama 45 minit, Freeman merumuskan Elise bukan saja bijak dan berkemampuan, malah seorang yang istimewa.

Beliau menyokong Elise untuk disenarai dalam Mensa yang hanya menerima mereka yang memiliki IQ lebih 148 mata dan diterima. Purata IQ manusia adalah 100.

“Daya ingatan Elise yang sangat tinggi adalah sumber kepada perkembangan dan kecerdikannya,” ulas Freeman.

Pada usianya yang masih mentah, Elise begitu mudah mengingat apa saja yang diperhatikannya.

Seorang ibu daripada kumpulan asuhannya cuba memperdayakannya dengan memberi permainan binatang dan menyatakan ia seekor badak sumbu.

Namun Elise pantas menjawab: “Itu bukan badak sumbu, tapi seekor triceratop.”

Ibunya pula sering bertanya pelbagai soalan.

“Apa ibu negara Russia?” soal Louise, 28.

“Moscow,” jawab Elise serta-merta.

“Ibu negara Indonesia?” soalnya lagi.

“Jakarta,” jawab anak kecil itu tanpa perlu berfikir.

Namun, bagi Louise dan Edward, yang penting adalah anak mereka dapat menikmati hidup seperti kanak-kanak lain dan bergembira. Pada masa ini, mereka percaya apa yang mereka lakukan adalah yang terbaik untuk Elise.

Edward, konsultan pemotoran yang berusia 34 tahun berkata: “Sasaran utama kami ialah memastikan Elise belajar jauh ke depan. Kami tidak akan biarkan beliau statik dan berhenti belajar hanya kerana ingin Elise menyesuaikan diri dengan rakan sebaya.

“Saya akan memastikan Elise sentiasa gembira dan menikmati hidupnya,” kata Edward, 34, yang bekerja sebagai pembeli kereta dan konsultan kenderaan.

Tidak hairanlah jika kedua-duanya mendaftarkan Elise yang sukakan muzik dan menari di Panggung Aktor Muda, yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Anna Scher dan sebuah sekolah khas muzik, ballet dan menari, Chickenshed.

Namun, kedua-duanya juga berasa kecewa kerana semua sekolah yang mereka hubungi tidak mahu menerima Elise hinggalah beliau berusia empat setengah tahun.

Apapun, orang asing tidak dapat lari daripada membuat pelbagai andaian buruk terhadap Louise dan Edward yang didakwa sengaja ingin menunjuk-nunjuk kepintaran anak mereka.

Bagaimanapun, Carol Vorderman sedar potensi anak kecil ini andai menerima bimbingan yang betul.

“Jika Elise bertuah dan diterima ke sekolah yang dapat memberi bimbingan dan mencabar mindanya, beliau akan terus seronok untuk belajar dan pastinya beliau terus gembira dan tersenyum dan menikmati sepenuhnya seluruh hidupnya,” katanya. — Agensi

0 comments:

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP